Thursday, February 28, 2013

3



        Azahari meletak kenderaan di luar dari pejabat Tuan Razif yang terletak di bangunan Leisure Mall, Jalan Manis 2, Cheras. Azahari menyedut dalam asap dari rokok LM seolah-olah mencari ilham di pagi hari. Fikirannya melayang-layang memikirkan masa depannya. Teringat dia kepada ibunya di kampung. 
        "Jangan kamu buat perangai tak senonoh kat sana. Jangan malukan mak tau? Nanti kalau Razif mengadu pada mak perangai kamu yang tak elok, siap kamu. Kita orang miskin. Orang susah. Paham?" Pesan ibunya panjang.
        Tuan Razif berasal dari kampung yang sama dengan Azahari. Dia yang menawarkan kerja sebagai pemandunya enam bulan yang lalu. 
        " Saya tak biasa dengan jalan-jalan di KL tu tuan. Nanti sesat pulak," kata Azahari bila ditawarkan kerja oleh Tuan Razif.
        " Mula-mula saya tunjukkan jalan-jalannya. Nanti lama-lama awak biasalah," jawab Tuan Razif menyakinkannya.
        Aku baru 2 tahun dapat lesen kereta. Jarang-jarang dapat bawa kereta. Macam mana nak jadi driver ni, bebel Azahari dalam hati. Namun kerana tidak mahu menghampakan harapan ibunya, dia terima juga tawaran Tuan Razif. Dia perlu menanggung belanja persekolahan adik-adiknya. gaji yang ditawarkan sebanyak RM 1500 oleh Tuan Razif agak lumayan bagi seorang pemandu fikirnya. Ibunya membuat kuih-muih untuk jualan di gerai tepi jalan di kampungnya bagi menampung pendapatan. Jabatan Kebajikan Masyarakat juga membantu sebanyak RM 300 sebulan. 
        Telefon bimbit Azahari berdering membuatkannya tersentak dari lamunan.
        "Saya kat luar Leisure Mall tuan. Baik tuan. Saya ambil di pintu masuk," jawab Azahari sambil masuk ke dalam kereta dan berlalu dari situ untuk mengambil majikannya.
       

No comments:

Post a Comment