Thursday, February 28, 2013

3



        Azahari meletak kenderaan di luar dari pejabat Tuan Razif yang terletak di bangunan Leisure Mall, Jalan Manis 2, Cheras. Azahari menyedut dalam asap dari rokok LM seolah-olah mencari ilham di pagi hari. Fikirannya melayang-layang memikirkan masa depannya. Teringat dia kepada ibunya di kampung. 
        "Jangan kamu buat perangai tak senonoh kat sana. Jangan malukan mak tau? Nanti kalau Razif mengadu pada mak perangai kamu yang tak elok, siap kamu. Kita orang miskin. Orang susah. Paham?" Pesan ibunya panjang.
        Tuan Razif berasal dari kampung yang sama dengan Azahari. Dia yang menawarkan kerja sebagai pemandunya enam bulan yang lalu. 
        " Saya tak biasa dengan jalan-jalan di KL tu tuan. Nanti sesat pulak," kata Azahari bila ditawarkan kerja oleh Tuan Razif.
        " Mula-mula saya tunjukkan jalan-jalannya. Nanti lama-lama awak biasalah," jawab Tuan Razif menyakinkannya.
        Aku baru 2 tahun dapat lesen kereta. Jarang-jarang dapat bawa kereta. Macam mana nak jadi driver ni, bebel Azahari dalam hati. Namun kerana tidak mahu menghampakan harapan ibunya, dia terima juga tawaran Tuan Razif. Dia perlu menanggung belanja persekolahan adik-adiknya. gaji yang ditawarkan sebanyak RM 1500 oleh Tuan Razif agak lumayan bagi seorang pemandu fikirnya. Ibunya membuat kuih-muih untuk jualan di gerai tepi jalan di kampungnya bagi menampung pendapatan. Jabatan Kebajikan Masyarakat juga membantu sebanyak RM 300 sebulan. 
        Telefon bimbit Azahari berdering membuatkannya tersentak dari lamunan.
        "Saya kat luar Leisure Mall tuan. Baik tuan. Saya ambil di pintu masuk," jawab Azahari sambil masuk ke dalam kereta dan berlalu dari situ untuk mengambil majikannya.
       

Wednesday, February 27, 2013

2






        BMW 5Series yang dipandu Azahari bergerak perlahan menuju ke Universiti Malaya. Jarak dari Bangsar dengan Universiti Malaya bukannya jauh sangat akan tetapi kesesakan jalan raya yang semakin teruk menyebabkan masa banyak terbuang. Nasib baik gear otomatik. Kalau tidak....alamatnya lenguh lutut aku, keluhnya. Lagu Amalina berduet dengan Iwan berkumandang melalui CD yang dimainkan. Azahari menggoyang-goyangkan kepalanya perlahan mengikut rentak lagu. 
      "Awak ni nak jadi driver ke atau apa?" tanya Mira dengan kasar menyebabkan anak muda itu tersentak dari goyangannya. 
        "Maaf cik," jawabnya. Namun dalam hatinya menyampah hanya Allah yang tahu. Ini bukan kali pertama dia menegurnya dengan kasar. Nasib baik bapa dia majikan aku kata Azahari dalam hati. Mira tidak seperti bapanya yang tahu menghormati orang lain walaupun dengan orang bawahannya. Mungkin kerana itu Tuan Razif boleh berjaya dalam perniagaannya dengan cepat. 
        " Turn off that CD idiot! Kan awak dah tau orang tak suka lagu-lagu macam tu. Low class," kata Mira menambah benci Azahari terhadapnya.
        "Baik Cik Mira," kata Azahari sambil menutup suis CD kereta BMW yang dipandunya dengan patuh walaupun terpaksa. Nak buat macam mana, ini bukan kereta aku keluh Azahari dalam hati.
        Azahari membelokkan kereta menuju ke pintu masuk Universiti Malaya. Tiada masalah untuk masuk kerana kereta itu ada sticker universiti yang sah. Sudah dua bulan dia menghantar dan mengambil Mira di universiti itu. Kemudian dia terus ke Cheras menghantar Tuan Razif ke pejabatnya. Mira baru di tahun satu dalam bidang perubatan. Bukannya tidak boleh tinggal di asrama, tapi jarak dari rumah agak dekat, jadi bapanya mahu dia tinggal di rumah saja. Menambahkan kerja aku saja bentak Azahari. 

Tuesday, February 26, 2013

1

        Pagi yang seperti hari-hari biasa menghembuskan bayu lembut ke muka Azahari di perkarangan rumah banglo Tuan Razif membuatkannya menyedut nafas sedalam yang mungkin. Azahari mengelap-ngelap kereta BMW 5 series majikannya itu sementara menunggu Tuan Razif keluar dari rumah banglo yang tersergam indah itu. Terdetik juga  di hatinya ingin memiliki rumah banglo seindah itu. Apakan daya, dia dilahirkan dalam keluarga yang susah. Malah dia cuma belajar sampai ke tingkatan tiga sahaja walaupun keputusan SPM yang diperolehinya 6 A agak baik. Namun dia perlu berkorban demi adik-adiknya tiga orang yang meneruskan pelajaran. Sebelum mendapat kerja sebagai pemandu Tuan Razif, dia membuat berbagai kerja untuk menampung perbelanjaan keluarga dan persekolahan adik-adiknya. Sebagai anak sulung memang dia perlu berbuat begitu. Itulah pesan bapanya sebelum meninggal dunia akibat penyakit kanser usus yang menderita selama setahun.
        "Hoi! Apa yang engkau mengelamun ni sampai tak sedar aku datang?" sapa Pak Kudin, tukang kebun Tuan Razif. Giginya yang masih utuh nampak berseri walaupun sudah berusia.
        "Oh Pak Kudin rupanya. Tak ada apa-apalah. Tunggu tuan. Lambat pulak hari ni" jawab Azahari selamba tapi agak terkejut sedikit dengan kehadiran Pak Kudin yang  muncul tiba-tiba.
     "Tunggu tuan atau tunggu anaknya?" balas orang tua tu mengusik dengan menyengetkan mulutnya.
        "Ada-ada aje la Pak Kudin ni" kata Azahari ingin menamatkan tajuk sensitif itu. Kalau didengar Tuan Razif, tentu malu rasanya. Entah-entah kena buang kerja pula, fikir Azahari.
        "Azahari...."tiba-tiba muncul Tuan Razif.
        "Ya tuan" jawab anak muda itu.
        "Hari ini saya kurang sihat. Jadi awak hantar Mira aje sorang ok?" kata Tuan Razif. 
        "Baik tuan" balas Azahari walaupun pada hakikatnya dia rasa tak senang jika menghantar anak majikannya itu tanpa Tuan Razif. Bukan kerana malu tetapi dia meluat dengan kerenah Mira yang menyuruhnya dengan nada sombong. Satu hari pernah Mira menyuruh Azahari memberhentikan kereta dengan tiba-tiba cuma untuk memetik sekuntum bunga di tepi jalan raya. Hampir-hampir saja kereta di belakang melanggar kereta Tuan Razif.