Wednesday, May 4, 2011

JIN 5


Assalamualaikum w.b.t
Sudah lama saya tidak menulis di ruangan ini kerana kesibukan. Kali ini saya pujuk hati saya untuk meneruskan cerita dan ulasan tentang jin ini walaupun pada hakikatnya ilmu saya tidak seberapa.


Jika kita selidiki, tidak banyak ilmu yang manusia ada tentang jin samada dari Al-Quran ataupun Al-Hadis. Oleh itu gambaran sebenar tentang mereka masih kabur. Di dalam Al-Quran banyak menerangkan tentang jin yang berstatus syaitan dan cuma sedikit penerangan tentang jin yang Islam. Namun, jika kita ingin mengetahuinya dari cerita jin itu sendiri bolehlah kita baca dari buku "Dialog Dengan Jin Islam" karya Muhammad Isa Dawud. Benar atau tidak apa yang diceritakan oleh jin tersebut hanya ALLAH yang mengetahuinya. Walaubagaimanapun penulisnya mempunyai dalil-dalil dari Al-Quran dan Al-Hadis.


ALLAH telah mencipta untuk jin suatu alam yang amat berbeza dengan manusia. Suatu alam apabila tidak kelihatan pada mata kasar manusia, maka ia dinamakan alam ghaib. Alam ghaib juga ada berbagai jenis. Alam jin tidak sama dengan alam kubur atau alam barzakh. Jin tidak dapat melihat alam barzakh. Namun malaikat mampu hadir di alam barzakh dan di alam jin. Kita wajib percaya akan kedua-dua alam ghaib ini. Alam jin memang terletak di dunia ini. Alam barzakh hanya ALLAH yang Maha Mengetahui kerana bumi mampu menhimpit mayat yang semasa hidupnya berdosa dan bagi yang beriman dan soleh maka rohnya ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang soleh yang dipanggil alam barzakh juga sehingga kiamat besar berlaku.


Oleh itu, tidak kira jin atau manusia, tidak kira alam jin atau alam manusia, kedua-duanya adalah cuma tempat persinggahan yang sementara bagi kedua-dua jenis makhluk ALLAH ini untuk diuji sebelum roh masing-masing bercerai dari jasad.


Cukup sampai di sini buat kali ini. Mungkin saya akan menghuraikan beberapa perkara tentang golongan jin, kehidupan jin dan hubungan jin dengan manusia kemudian nanti.


Wasssalam.

No comments:

Post a Comment