Wednesday, May 26, 2010

JIN 3

Kenapa jin tidak boleh dilihat oleh manusia? Tidak lain...kerana jin dijadikan dari unsur yang berbeza dari manusia sebagaimana firman ALLAH: "Dan sesungguhnya KAMI telah menciptakan manusia dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Dan KAMI telah menciptakan jin, sebelum itu dari api yang sangat panas." (Surah Al-Hijr: 26-27). Api yang sangat panas (nar as-samum) jika dikaji memang tidak kelihatan oleh mata kita. Lihatlah pada api 'welding'. Yang paling panas adalah yang dihujungnya di mana ia boleh mencairkan besi. Firman ALLAH lagi: "DIA menciptakan Jaan (jin), sebelum itu dari nyala api (al-marij)".(Surah Ar-Rahman: 15). Menurut Imam An-Nawawi, nyala api adalah jilatan api (al-lahab) yang bercampur dengan hitamnya api. Ia juga bermaksud lidah api atau inti api iaitu bahagian api yang berada di puncak ketika ia menyala. Bahagian api yang terpanas ketika seseorang memotong atau menyambung besi (welding) adalah dihujungnya di mana tidak kelihatan oleh mata kasar kita.

Huruf jim dan nun jika digabungkan akan memberi maksud benda atau makhluk yang tersembunyi dalam bahasa Arab seperti al-janin (fetus dalam rahim ibu), junnat al-lail (tersembunyi oleh kegelapan malam) dan junnah (segala sesuatu yang digunakan penutup diri dari segala keburukan. Al-mijann perisai yang digunakan tentera untuk melindungi diri dalam peperangan. Al-jannah, syurga kerana banyaknya pokok-pokok yang terdapat di sana yang saling menutupi antara satu sama lain. 

Walau bagaimanapun, jin tidak lagi berbentuk api sebagaimana manusia tidak lagi berbentuk tanah. Ia telah dibentuk oleh ALLAH menjadi wujud benda, lalu dikembangkan menjadi bentuk dan organ-organ tubuh. Kemudian ditiupkan kepadanya roh sehingga menjadi makhluk yang cerdas, berakal dan mempunyai kebebasan memilih sebagaimana juga ALLAH mengembangkan Adam dari tanah, lalu menjadi tanah liat, kemudian tanah liat hitam yang berubah baunya  dan kemudian berubah menjadi tanah liat kering dan keras yang dibentuk. Akhirnya ditiupkan kepadanya roh...maka jadilah Adam sebagai manusia yang sangat baik bentuknya.

No comments:

Post a Comment