Thursday, November 12, 2009

Kehidupan dan Kematian - Stroke

Salam,

Entry kali ini lebih menjurus kepada kehidupan kita di dunia ini. Apabila nyawa masih dikandung badan kita akan orang akan berkata bahawa kita masih hidup. Tetapi tidakkah kita terfikir bahawa ada masanya kita telah pun mati sebelum ajal. Mati yang dimaksudkan di sini adalah kita tidak mampu melakukan sesuatu apa pun tanpa bantuan orang lain. Kita terlantar di pembaringan sehinggalah ajal benar-benar menjemput kita. Ramai yang berkata lebih baik mati daripada berkeadaan begitu.

Salah satu penyakit yang boleh menyebabkan kita jadi begitu adalah angin ahmar atau lebih dikenali sebagai " stroke". Sebenarnya angin ahmar tidak mengira usia walaupun kebanyakannya terjadi kepada orang-orang yang berusia 55 tahun ke atas. Lelaki lebih banyak menghidapinya. Angin ahmar boleh berlaku apabila salah satu salur darah (arteri) di dalam otak kita gagal menyalurkan darah yang mengandungi oksigen dan nutrien yang diperlukan otak kita. Ini boleh disebabkan samada salur darah itu tersumbat oleh darah beku atau plak yang pecah dari penyakit salur darah artherosclerosis sama seperti serangan jantung. Ia juga boleh disebabkan salur darah arteri itu pecah di mana perdarahan akan berlaku di dalam otak. Oleh itu oksigen dan nutrien tidak sampai ke tisu otak yang memerlukannya. Apabila tisu otak yang terlibat tidak menerima bekalan oksigen dan nutrien dalam masa yang tertentu, ia akan menyebabkan tisu otak yang terlibat mati. Apabila mati maka bahagian otak yang terlibat tidak boleh berfungsi lagi. Contohnya, otak yang berfungsi untuk menggerakkan tangan kanan kita mati maka tangan kanan kita tidak boleh bergerak lagi. Begitu juga bahagian-bahagian anggota badan yang lain. Otak kita mengawal semuanya. Tiap-tiap bahagian otak mengawal bahagian-bahagian tertentu anggota badan kita.

Ada beberapa penyakit yang menyumbang kepada salur darah tersumbat atau pun pecah. Yang sering kita dengar adalah penyakit darah tinggi dan kencing manis. Kedua-dua penyakit ini dihidapi oleh ramai orang di dunia ini. Belum ada penyembuhnya. Yang ada cuma ubat-ubat untuk mengawalnya sahaja. begitu juga angin ahmar, tiada ubat atau rawatan khusus untuk menyembuhkannya. Sesiapa yang diserang angin ahmar, mereka boleh mati atau lumpuh tidak boleh sembuh sampai bila-bila atau sembuh separuh atau sembuh sepenuhnya. Ia bergantung kepada berapa teruk angin ahmar itu menyerang dan berapa banyak bahagian otak yang terlibat (berapa banyak salur darah yang terlibat). Lumpuh tidak boleh sembuh sampai bila-bila itulah yang saya maksudkan kita sudah mati sebelum ajal. Lumpuh yang saya maksudkan ialah lumpuh kedua-dua belah anggota tubuh. Untuk pengetahuan, angin ahmar boleh menyerang kedua-dua belah anggota tubuh kerana kedua-dua belah salur darah boleh tersumbat serentak atau satu persatu. Walaupun ia jarang berlaku tetapi jika berlaku dan kita terselamat dari ajal maka akibatnya penyeksaan yang amat teruk di dunia ini. Kita tidak mampu berbuat apa-apa jika tanpa bantuan orang lain.

Ketika itu tentulah kita minta untuk mati yang sebenarnya. Tapi tahukah tuan puan sekelian apabila kita minta untuk mati dan kita dimatikan ALLAH lalu kita minta pula untuk hidup walau pun seketika untuk kita bertaubat? Sebenarnya sesiapa yang diserang angin ahmar yang teruk dan lumpuh sepenuhnya tidak boleh sembuh, itulah waktunya yang sesuai untuk kita bertaubat dan mengingati ALLAH walaupun suara tidak boleh keluar, solat tidak dapat dilakukan dan ibadat yang lain juga tidak dapat dilakukan. Selagi nyawa tidak sampai di kerongkong (halkum) maka jika ALLAH menghendaki boleh sahaja taubat kita diterimanya. Penderitaan yang kita hadapi mungkin jadi kifarah kepada kita. Wallah hu a'lam...

No comments:

Post a Comment